Hamlatul quran ~

~ Dalam lamunanku ~
Hari yang merangkak, Usia yang menginjak mengajak ku untuk merenung dan berfikir tentang hakikat diri sebagai Hamlatul Quran, Ku merenung dan mentadabbur Ayat-Ayat Allah sebagai peringatan dariNya.

Oh,KalamMu ya Ilahi, menyentuh kalbuku . .
Surah Al-baqarah , ayat 269 yang bermaksud ,


(( Allah menganugerahkan Al-Hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al-Quran dan As-Sunnah) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan barangsiapa yang dianugerahi Al-Hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pengajaran. ))

Bisikan ketenangan menyelubungi nurani, kesyahduan kurasakan amat bererti acap kali ku terdengar alunan suara insan-insan kerdil membasahi lidah dengan KalamMu , tiada putus-putus mendampingi KitabMu, membaca, mentadabbur, meneliti Ayat-Ayat Suci. Segolongan insan yang dihormati, segolongan insan yang dipandang tinggi, inilah golongan insan yang bergelar Hamlatul Quran iaitu pendukung kitab suci. Dan Hamlatul Quran, itulah aku. . .

Masih teringat ku pada satu ungkapan yang pernah ku terbaca. Penuh makna. Wasiat Ibn Mas'ud yang bermaksud :

". . . . seharusnya bagi seorang Hamlatul Quran itu mengetahui, malamnya ketika manusia dibuai mimpi, siangnya ketika manusia enak menikmati juadah, tangisannya ketika manusia bergelak ketawa, diamnya ketika manusia berkata yang sia-sia dan khusyuknya ketika manusia leka dengan kehidupan dunia. "

Daku merenung sejenak, Hamlatul Quran . . . Begitukah aku?

Kata-kata itu mengetuk fikiranku, menusuk hatiku, menyedarkan aku dari lamunanku, betapa Hamlatul Quran yang Hakiki adalah insan-insan yang sanggup bermujahadah dalam kepayahan, mampu berkorban dalam tangisan dan rela imannya diuji dengan keperitan. Baru ku sedar, Hamlatul Quran . . . . . dikau Luar Biasa !

Tatkala ku mengimbas kembali kisah silamku.Kisah semalamku yang penuh dengan kelalaian, kealpaan, keseronokkan seperti orang kebanyakkan, sememangnya tidak layak diri ini dianugerahi dengan permata Ilahi yang nilainya terlalu tinggi dibandingkan dengan diriku yang Dhaif ini.

Namun Ya Ilaahii,
Kau anugerahkan jua aku kemuliaan ini, menjadi salah seorang insan pilihanMu, di dalam dunia Hamlatul Quran yang penuh dengan janji-janji manis. Di akhirat kelak ibu bapaku bakal Kau pakaikan dengan mahkota sebagai hadiah pengorbanan mereka mendidikku mengenali kehidupan insani.


Hamlatul Quran . . . Alangkah beruntungnya dikau !

"Ya ALLAH, Hiasilah diri kami dengan perhiasan Al-Quran.
Muliakanlah kami dengan Kemuliaan Al-Quran.
Ya Ilaahii, Jadikanlah Al-Quran bagi kami di dunia ini sebagai Sahabat
serta peringatan di alam kubur,
Sebagai Syafaat di Hari akhirat
Sebagai Cahaya pada JalanMu
dan menjadi Hijab dari api nerakaMU."
a n i s a h *dlm lamunan kesedaran

Comments

Popular Posts